Saturday, October 25, 2008

MINDA PEMBACA - HORMATI JIRAN TETANGGA

ISLAM PENTINGKAN UMATNYA MENJAGA KEHARMONIAN HIDUP BERJIRAN


Seperti firman Allah SWT yang bermaksud; “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga-tetangga yang dekat dan tetangga-tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” Dengan huraian maksud firman Allah SWT itu, jelaslah menggambarkan bahawa Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. Justeru itulah kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebagai masyarakat islam yang sempurna, kita hendaklah berbuat baik sesama kita juga termasuklah berbuat baik terhadap jiran tetangga seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT.

Di sini ada beberapa cara untuk kita berbuat baik terhadap jiran tetangga umpamanya menjaga perbuatan kita dengan baik, menjaga lidah dan menghormati hak terhadap jiran tetangga. Apapun hak jiran tetangga itu seperti menolong mereka apabila mereka meminta bantuan, meminjamkan apabila mereka meminta pinjaman, tatkala mereka sakit hendaklah kita menziarahi mereka, ketika mereka mendapat kebaikan maka hendaklah kita mengucapkan selamat kepada mereka, andainya mereka ditimpa musibah kita mestilah menghiburkannya dan jika mereka memerlukan nasihat atau pendapat hendaklah kita membantunya. Disamping itu kita juga hendaklah sentiasa mengunjungi mereka jika perlu, memberikan sedikit hadiah dan memberikan bantuan baik dengan lisan mahupun tangan. Itu adalah diantara hak-hak jiran tetangga yang perlu kita titik beratkan. Andaikata kita mampu melaksanakan hak-hak tersebut, nescaya jiran tetangga kita akan melahirkan perasaan kasih dan sayang terhadap kita. Maka dengan itu juga akan terjalinlah tali silaturrahim antara kita dan jiran tetangga. Hubungan sebeginilah yang benar-benar dituntut oleh agama kerana ianya adalah satu fitrah yang telah ditetapkan sejak dari azali lagi.

Allah SWT juga ada berfirman yang bermaksud; “Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim.” Jelaslah dengan maksud firman Allah SWT bahawa kita hendaklah sentiasa memelihara hubungan silaturrahim. Ini kerana hubungan silaturrahim mencerminkan masyarakat islam yang hidup bersatu padu dan harmoni demi menaikkan mertabat agama islam yang suci.

Tidak dinafikan masyarakat islam sekarang ada yang terlalu mengikut pengaruh-pengaruh barat. Kehidupan mereka hanya mengikut aliran mereka sahaja. Hak-hak jiran tetangga langsung tidak diperdulikan. Mereka hanya memperdulikan hal mereka sebaliknya masalah jiran tetangga dianggap seperti sampah yang lalu di hadapan mata mereka. Langsung tidak terfikir oleh mereka akan dosa dan pahala yang telah ditetapkan oleh agama. Ini mungkin pengaruh dari barat yang telah membutakan hati mereka sedangkan mereka sendiri masih kurang selamat.

Dari penjelasan itu tadi, jelaslah bahawa kita hidup sebagai masyarakat islam hendaklah sentiasa menghormati hak-hak jiran tetangga. Andainya kita sentiasa mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, insya-Allah kehidupan kita pasti akan sempurna, bahagia dan aman sentiasa. Usahlah kita mengikut budaya barat kerana ianya hanya akan menghanyutkan masyarakat kita sendiri. Marilah kita hidup mengikut penghidupan secara islam kerana ianya pasti akan mengundang kebahagian dunia dan juga akhirat.
Minda Pembaca hasil tulisan Alia pada 03hb September, 2003 yang telah lalu dan mendapat hadiah sebanyak $40.00 dari Jabatan Penerangan Brunei.

2 comments: