REMAJA PERLU MELALUI PROSES KOMUNIKASI BERKESAN
DI ZAMAN ini masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar amatlah ketara sekali. Biasanya remaja dan pelajar mempunyai naluri keinginan seperti mahukan kebebasan, keprihatinan atau kasih sayang berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya dan sebagainya. Jika kegiatan mereka itu tidak terkawal maka dengan sendirinya timbullah pelbagai masalah terhadap diri remaja dan pelajar terbabit. Mereka akan mula terdedah kepada pengaruh-pengaruh dari luar mahupun dari dalam sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada perkembangan mereka. Jika ianya terjadi, kerugian bukan sahaja tertimpa pada diri remaja dan pelajar bahkan juga pada keluarga, masyarakat dan lebih besar lagi pada negara mereka sendiri.
Justeru untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku pelbagai cara patut dilaksanakan bagi membanteras masalah di kalangan remaja dan pelajar itu. Antara cara terbaik adalah melalui proses interaksi dan komunikasi berkesan. Para remaja dan pelajar itu sendiri akan mampu menyampaikan atau meluahkan segala masalah, pandangan, pendapat dan perasaannya.
Melalui komunikasi juga para remaja dan pelajar boleh memperolehi pengiktirafan, tidak merasa terasing menerima kasih sayang dan bersifat optimis. Oleh yang demikian, ibu bapa dan guru-gurulah memainkan peranan penting dalam melaksanakan proses interaksi dan komunikasi berkesan itu. Secara tidak langsung para remaja dan pelajar akan mempersepsikan ibu bapa dan guru-guru mereka sebagai individu yang prihatin, penyayang dan memeduli kepentingan mereka. Para remaja dan pelajar juga pasti akan sedar betapa penting dan istimewanya diri mereka di sisi ibu bapa, guru-guru bahkan juga di sisi masyarakat dan negara.
Remaja dan pelajar yang tidak melalui proses komunikasi berkesan biasanya mereka ini adalah seorang yang murung dan rendah tahap motivasinya. Malah mereka juga dapat dikatakan sebagai individu yang bersifat pesimis. Secara tidak langsung akan hadirlah perasaan seperti kesedihan, kesunyian, merasa tidak dihargai dan sebagainya. Ini juga boleh menjejaskan sikap dan tingkah laku diri remaja dan pelajar berkenaan.
Adalah amat penting untuk memahami dan cuba mengurangkan masalah yang dihadapi oleh para remaja dan pelajar ini. Dengan itu dapatlah para remaja dan pelajar membentuk sikap kendiri yang tinggi sekali gus dapat menghadapi pelajaran dengan sempurna.
Maka jelaslah remaja dan pelajar yang menghadapi proses komunikasi yang tidak berkesan dengan ibu bapa dan guru-guru akan mudah cenderung mempunyai sikap kendiri yang lebih rendah berbanding dengan remaja dan pelajar yang memperolehi komunikasi berkesan dari ibu bapa dan guru-guru.
Kesimpulan yang dapat kita perolehi ialah membanteras masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar adalah lebih berkesan dengan cara proses komunikasi berkesan yang dilaksanakan oleh ibu bapa dan guru-guru kepada para remaja dan pelajar itu sendiri. Tidak dinafikan sekarang hampir kesemua ibu bapa dan pelajar telah melaksanakan pelbagai cara berkesan dalam membanteras masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar. Dengan itu secara positifnya, ibu bapa, guru-guru, masyarakat dan juga negara tidak akan kehilangan generasi-generasi cemerlang untuk menjulang nama bangsa, agama dan negara yang tercinta.
Minda Pembaca hasil tulisan Alia pada 30hb April, 2003 yang telah lalu dan mendapat hadiah sebanyak $40.00 dari Jabatan Penerangan Brunei.
No comments:
Post a Comment