Monday, August 15, 2011

Doaku

Hari ini genaplah usiaku 36 tahun dan alhamdulillah aku sangat bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah memanjangkan umurku walaupun keadaan kesihatanku yang tidak begitu memuaskan sejak akhir-akhir ini. Ya, Allah...dikesempatan ini ingin aku panjatkan doa dan harapan agar Engkau akan sentiasa memberikan aku taufik dan hidayah-Mu, memanjangkan umurku, menyihatkan tubuh badanku, memurahkan rezekik, memberikan aku ketabahan dan kegigihan serta mempercepatkan jodohku agar aku akan kuat untuk meningkatkan lagi amal ibadahku Ya Allah. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Mu yang lemah yang sentiasa dibayangi hasutan dan bisikkan yang sering membuatkan aku lalai seketika. Air mata ini menjadi saksi bahawa aku sangat menyintai-Mu Ya Allah dan aku sangat menyintai agama yang aku miliki ini. Mudah-mudahan dengan melangkahnya usiaku yang baru ini, aku akan sentiasa memperhambakan diriku pada-Mu Ya Allah. Mudah-mudahan aku akan kuat untuk melawan segala hasutan dan bisikkan agar cintaku pada-Mu tidak akan pernah pudar dan layu oleh kebinasaan diriku sendiri.

Ya, Allah..aku juga bermohon semoga Engkau panjangkanlah umur ibuku. Sihatkanlah tubuh badannya dan lindungilah ibuku dari segala mala petaka dan bala bencana. Berikanlah dia kesenangan dan ketenteraman dalam hidupnya agar kehidupan yang dilaluinya akan lebih bermakna dan bahagia di sisi anak-anaknya. Dihari ulangtahun kelahiranku ini, tiada apa yang lebih mengembirakan diriku selain dapat menghabiskan sisa hidupku bersama ibuku yang tersayang kerana tanpa dia, aku tidak akan lahir ke dunia ini. Tidak dapat aku bayangkan betapa sakit dan sengsaranya dirinya ketika mengandungkan dan kemudian melahirkan aku ke dunia ini. Sehingga kini aku dewasa, aku belum cukup membahagiakan dirinya. Aku tidak punya harta yang banyak untuk membalas segala jasanya justeru itu aku sanggup mengorbankan masaku untuk sentiasa di sisinya, menjaganya dikala sakit peningnya dan memujuknya ketika dia merajuk. Namun aku percaya, segunung manapun harta kekayaan yang aku limpahkan kepada seorang insan yang bergelar ibu, itu belum tentu dapat membalas segala jasanya melahirkan aku. Terima kasih ibu, terima kasih kerana telah melahirkan aku ke dunia ini dan menjagaku dengan cukup segala keperluan dan didikan yang sempurna. Aku sayang mama...

"Selamat hari jadi ke 37 tahun buat diriku sendiri"

No comments:

Post a Comment