Saturday, August 20, 2011

11 Tahun Menyambut Hari Raya Tanpa Kehadiran Ayah Tercinta

Salam dan selamat menjalankan ibadah puasa buat sekalian umat islam di dunia. Pejam celik pejam celik hari ini sudah masuk hari ke 20 kita menjalankan ibadah puasa dan ini bermakna tinggal lebih kurang 9 hari lagi kita akan menyambut hari raya aidil fitri. Mungkin telah banyak persiapan yang telah dibuat untuk menyambut kedatangan bulan kemaafan ini kan?. Namun begitu janganlah pula kita alpa dengan kehadiran 10 malam terakhir bulan ramadhan yang mulia ini. Bersamalah kita meraih pahala yang berlipat kali ganda di malam-malam terakhir bulan mulia ini sebagai bekalan kita di akhirat kelak.

Apa yang ingin saya kongsikan pada kali ini adalah mengenai pengalaman saya ketika menyambut hari raya tanpa kehadiran ayahnda tercinta. Mungkin suatu ketika dahulu saya pernah mengongsikan pengalaman saya itu melalui blog ini, namun hari ini saya masih mahu untuk mengongsikannya sebagai tatapan kalian yang baru saja melayari laman blog saya ini. Jadikanlah apa yang telah terjadi pada saya dan keluarga ini sebagai ikhtibar dan teladan bagi mereka-mereka yang merasakan kekosongan dan ketidakadaan mood untuk menyambut aidil fitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Pada pertengahan bulan ramadhan tahun 1420H yang lalu saya telah ditimpa sakit. Demam panas, batuk dan kemudian sejuk seluruh badan yang saya hidap selama bebarapa hari telah memaksa saya untuk dihantar ke hospital. Arwah ayah saya pada masa itu tidak dapat menemani saya ke hospital dan hanya memapah saya masuk ke kenderan dengan doa yang dibacanya sebelum melangkah keluar dari rumah. Setelah mendapat pemeriksaan doktor, saya telah diarahkan untuk ditempatkan di ward hospital memandangkan keadaan saya pada ketika itu perlu dirawat dengan lebih terperinci kerana doktor takut batuk yang saya hidap berpunca dari penyakit tibi. Selama saya di hospital, ibu sayalah yang menemani saya dan adik-adik dan kakak sering menemani ibu saya menjaga saya yang terlantar sakit. Apa yang membuat saya merasa teharu apabila mengenangkan arwah ayah saya yang terpaksa berbuka puasa seorang diri di rumah. Arwah ayah saya pada ketika itu sudah berusia 84 tahun dan sememangnya sudah tidak larat untuk berulang alik ke hospital untuk menjenguk saya. Dia hanya menanti dan bertanyakan khabar kesihatan saya apabila adik-adik dan kakak saya pulang ke rumah pada tengah malam.

Setelah 4 hari saya berada di dalam ward, doktor telah membenarkan saya pulang ke rumah kerana saya telah disahkan tidak dijangkiti penyakit tersebut. Saya pun dibekalkan ubat sebagi rawatan selanjutnya sehingga saya sembuh sepenuhnya. Setiba saya di rumah, saya rasa sangat gembira kerana dapat berkumpul semula bersama keluarga terutama sekali bertemu dengan arwah ayah. Dapatlah kami sekeluarga berbuka bersama walaupun pada ketika itu saya masih belum dapat berpuasa disebabkan masih belum sihat sepenuhnya. Dalam masa itu, ibu dan kakak saya sibuk untuk menyiapkan segala persiapan menyambut hari raya. Langsir sudah dipasang, sarung kusyin sudah diganti, 3 set sofa yang adik dan ibu beli sudah segak teratur dan minuman gas serta kuih muih dan biskut raya sudah tersedia memandangkan cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi syawal akan menjelang. Bukan main sibok sakan mama, kakak dan adik membuat persiapan dan saya hanya duduk memerhati memandangkan keadaan saya yang masih lemah. Sempat juga mama belikan saya sepasang baju baru dan saya gembira walaupun sedikit muram kerana tidak dapat membantu mereka menyediakan persiapan raya.

Setelah segala persiapan dibuat dan pada hari melihat anak bulan syawal, arwah saya pula ditimpa sakit. Degupan jantungnya terasa kuat dan boleh didengar dari corong telinga. Saya menangis ketika itu kerana saya lihat keadaan ayah tidaklah sebaik keadaannya semasa dia kerap sakit dan demam sebelum itu. Mama terlalu risau melihat keadaan arwah ayah dan menyuruhnya segera berbuka. Arwah ayah seorang yang taat dalam perintah agama. Sepertimana dia tidak pernah meninggalkan solat, begitu juga dengan berpuasa yang tidak pernah sekalipun arwah ayah ponteng. Pada hari itu ayah akur dan terpaksa berbuka dengan keadaan degupan jantungnya yang kuat kedengaran. Masih terbayang di birai mata saya ketika arwah ayah menyuap nasi dan ayam goreng ke mulutnya dengan keadaan yang teramat menyedihkan. Dengan tangannya yang terketar-ketar cuma sedikit sahaja nasi dan ayam masuk ke perutnya dan arwah ayah masuk ke bilik untuk berehat. Saya terlalu risau ketika itu dan meminta cadangan untuk arwah ayah segera di bawa ke hospital. Mama pun sependapat dan kami sekeluarga mahu membawanya ke hospital tetapi arwah ayah berdegil. Dia cuma mahu dibawa ke kelinik berdekatan kerana arwah ayah kata hospital dan kelinik sama sahaja. Kami pun menghubungi kakak untuk membawa arwah ayah ke kelinik. Setiba di kelinik arwah ayah telah diperiksa doktor. Entah kenapa doktor itu memberarkan arwah ayah pulang sedangkan penyakit arawah ayah pada masa itu perlu diberikan permerhatian yang terperinci kerana arwah ayah nampak sangat sakit dan sukar untuk bernafas. Peliknya doktor hanya menyuruh arwah ayah pulang ke rumah dan memberinya obat hirup (Ventolin Inhaler) sahaja.

Pada sebelah petang saya menolong mama untuk menjaga arwah ayah yang hanya berbaring di biliknya sementara mama dan kakak sibok menyediakan juadah berbuka. Setelah mama siap memasak, mama pula yang menjaga arwah ayah dan saya menjenguk kakak di dapur. Dengan tiba-tiba sahaja mama menjerit sambil menangis memanggil kami ke bilik. Waktu itu adik-adik masih belum pulang dari kerja. Arwah ayah tiba-tiba tumbang setelah cuba untuk bangun dari tilamnya. Dalam keadaan panik mama mengurut belakang arwah ayah sambil menangis. Arwah ayah susah untuk bernafas. Mama menyuruh kakak untuk memanggil jiran sebelah kerana jiran sebelah pandai menawar air. Belum sempat kakak bergerak, saya dengan pantas berlari anak ke rumah jiran walaupun ketika itu hujan renyai-renyai. Dengan keadaan saya yang belum sembuh sepenuhnya saya tidak terasa saya sedang sakit ketika itu. Saya gagahi kaki untuk meminta bantuan jiran. Sementara kakak menghubungi adik-adik yang sedang dalam perjakan pulang ke rumah. Kakak dan abang juga di hubungi untuk segera datang ke rumah. Setelah jiran memberi air penawar, arwah ayah nampak lega sedikit. Degupan jantungnya tidak berapa laju dan keadaan kembali tenang seketika. Beberapa minit kemudian, adik-adik pulang dari kerja dan panik melihat keadaan arwah ayah. Masa yang berlalu membuatkan kami sekeluarga mengabaikan waktu berbuka puasa. Mereka hanya berniat dan meneguk air putih dan memakan sebuji kurma sahaja. Setiba abang saya yang paling tua datang, dia mengsyorkan agar arwah ayah dibawa ke hospital dengan segera.

Jam demi jam hati saya bagai resah berpanjangan. Kebimbangan saya menjulang menanti khabar dari hospital. Waktu itu telefon bimbit masih belum popular. Hanya orang bekerja sahaja yang mampu memiliki telefon bimbit. Pada ketika itu saya masih mengikuti krusus di pusat kesenian dan pertukangan tangan dan tidak mempunyai telefon bimbit. Saya hanya setia menanti deringan telefon di rumah untuk mengetahui khabar arwah ayah. Mula-mula saya mahu ikut mereka ke hospital tetapi mama tidak membenarkan sebab saya masih belum sihat untuk berjalan jauh. Tibalah saat pengumuman anak bulan syawal dan anak bulan tidak kelihatan. Sebaliknya negara jiran sudah mula berhari raya pada keesokkan harinya. Keadaan di rumah sunyi sepi. Saya hanya ditemankan anak buah dan kami sempat menonton rancangan raya di tv malaysia sementara hati saya masih dihujani keresahan. Saya tidak tahu keadaan arwah ayah di hospital. Mereka juga tidak menghubungi saya. Selang beberapa jam, mama pulang ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian. Sementara itu adik lelaki saya nampak pucat dan lesu. Mula-mula saya sangka sebab seharian berpuasa dan tidak sempat berbuka menyebabkan keadaannya begitu. Rupa-rupanya adik lelaki saya pengsan ketika di unit kecemasan. Dengan keadaan yang lapar setelah seharian berpuasa dan gemuruh melihat arwah ayah di beri rawatan yang mencemaskan menyebabkan adik jatuh pengsan. Arwah ayah diberikan bantuan alat pernafasan kerana tekanan jantung arwah ayah dalam keadaan bahaya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa saya merasa amat bimbang akan keadaan arwah ayah. Dan saya mahu ikut mama balik ke hospital. Namun, mama tidak membenarkan sebab menyuruh saya menjaga adik yang masih kelihatan lemah. Mama kata, arwah ayah sudah setabil dan dipindahkan ke ward. Justeru itulah mama pulang ke rumah sekejap dengan kakak. Lagipun, arwah ayah sendiri yang mendesak mama untuk memanggilkan tukang urut untuk menengokkan keadaan adik. Setelah selesai melaksanakan permintaan arwah ayah, mama kembali semula ke hospital dengan kakak. Manakala saya mengurut kepala adik dengan minyak tawar yang diberikan tukang urut. Walaupun keadaan saya ketika itu masih pening-pening tetapi saya tetap menjaga adik dengan baik. Badan adik masih lemah dan hanya terbaring di depan tv.

Pada keesokkan harinya mama tidak pulang ke rumah. Kakak memberitahu saya yang arwah ayah sudah semakin setabil cuma masih bergantung pada mesen pernafasan. Saya benar-benar mahu menjenguk arwah ayah tetapi terpaksa menjaga adik yang masih tidak mampu bangun. Kalaulah saya tahu bahawa hari itu adalah saat hujung nyawa arwah ayah, mesti saya gagahi hati untuk menjenguknya. Petang itu mama pulang sekejap untuk menjenguk adik. Mama bagitahu arwah ayah berselera makan nasi dengan ayam. Mulut dia tak henti-henti menyuruh mama menjenguk adik dan saya di rumah. Saya gembira bila mendengar khabar baik arwah ayah. Saya kata dalam hati 'tak apalah tahun ini beraya di hospital.' Malam itu mama balik semula menemani arwah ayah di hospital. Malam itu malam hari raya. Mama dan adik lelaki saya yang bungsu menjaga arwah ayah di hospital sementara kakak, adik dan saya menjaga adik lelaki yang masih belum sihat. Air mata saya mengalir ketika melihat segala persiapan seperti terabai macam itu sahaja. Saya lihat langsir, macam tidak berseri dan saya lihat sofa baru macam sofa yang sudah bertahun-tahun terpakai. Kesunyian seperti bermaharajalela di saat itu di mana orang lain menyambut malam raya bersama keluarga dengan penuh gembira. Bunga api berdentum-dentum memecah keheningan malam raya. Rumah-rumah mermandi cahaya dengan cucul-cucul tetapi di rumah, suasana sepi menyulubungi.

Allah Hu Akhbar..Allah Hu Akhbar..takbir raya memecah hening. Airmata mengiringi pagi syawal 1420H. Kakak sudah awal pagi bangun untuk menyediakan juadah raya untuk di bawa ke hospital. Saya dan adik perempuan saya hanya membantu kakak apa yang patut. Kakak masak nasi, ikan, ayam dan sayur. Saya paling gembira ketika itu sebab baru pagi itu peluang saya untuk berjumpa dengan arwah ayah. Saya ingin menggengam erat tangan arwah ayah sebagai memohon keampunan di pagi raya. Sementara menanti juadah kakak siap, saya sempat mengurut kepala adik dengan minyak penawar. Saya beri semangat pada adik untuk melawan sedikit sakitnya kerana pada pagi itu kami semua kena pergi menziarahi arwah ayah dan memohon ampun kepada mama juga.

Dengan mengenakan pakaian raya yang nampak berseri-seri kami 4 beradik pergi ke hospital dengan hati yang sangat girang. Kakak membawa mangkuk bertingkat yang berisi lauk pauk yang dimasaknya dari rumah. Setiba kami masuk ke pintu ward, mama dan adik menangis di sebalik langsir sementara arwah ayah sedang dirawat di katilnya. Kami tidak tahu apa yang berlaku kerana adik tidak menghubungi kami di rumah. Namun adik telah memberitahu yang dia telah menghubungi kami di rumah tetapi panggilan telefon tidak berjawab kerana kami sudah dalam perjalan ke hospital. Mama menyuruh adik menghubungi kakak-kakak dan abang-abang yang lain kerana mama beritahu keadaan arwah ayah agak membimbangkan. Belum lama kemudian kelihatan abang saya yang paling tua bergegas masuk lalu menjenguk arwah di katil walaupun ketika doktor sedang merawat. Kami semua mendekati arwah ayah lalu saya mengenggam tangannyanya dengan erat. Saya terasa arwah ayah juga mengenggam tangan saya dengan kuat. Saya tidak henti2 menangis dan adik beradik saya yang lain juga sama. Arwah ayah sudah menutup matanya sementara tangannya masih bergerak. Arwah ayah nazak sementara abang dan kakak bergilir-gilir melaungkan syahadah di corong telinganya. Surah yassin juga dibacakan. Kesedihan kami sekeluarga pada pagi itu telah disaksikan mereka-mereka yang berada di ward tersebut. Tidak lama kemudian ward itu telah dipenuhi saudara mara terdekat terutamanya anak-anak dan cucu cicit arwah ayah sehingga tiada ruang. Saya meraung menangis kerana tidak dapat mengawal kesedihan memandangkan hari itu hari pertama umat islam menyambut hari kemenangan. Adik saya yang sakit hanya duduk termanggu sementara airmatanya membasahi pipi. Mamalah insan yang paling sedih ketika itu kerana telah kehilangan suami yang amat dikasihi. Sebelum ayah menghembuskan nafas terakhirnya tengannya yang menggengam erat tangan saya telah dilepaskannya perlahan dan sejurus itu nafasnya telah berakhir. Allah lebih menyayangi arwah ayah berbanding kami sekeluarga. Arwah ayah meninggalkan kami pada pagi 1 syawal 1420H di hadapan anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit dan anak-anakbuahnya yang dikasihi.

Setelah jenazah arwah ayah selamat disempurnakan, kami serumah bagaikan sedang bertaubat nasuha. Bacaan ayat suci al-quran hari-hari berkumandang di rumah dan kami hanya berkabung selama yang boleh. Doa dan air mata kami mengiringi perjalanan arwah ayah yang kami sangat sayangi. Tahun itu kami nekad untuk tidak menyambut hari raya. Rumah kami suram tanpa lampu cucul. Tv pun langsung tidak kami buka selama 5 hari. Segala perabut kami simpan ke tingkat atas. Kami hanya mengalaskan lantai rumah dengan karpet sahaja. Kek dan biskut serta minuman gas hanya akan kami hidang ketika saudara mara datang menziarahi kami di rumah. Selebihnya kami sedekahkan kepada yang memerlukan. Apa yang membuatkan saya bertambah sedih iaitu duit angpau hasil duit elaun saya masih saya simpan tanpa sempat memberikannya kepada arwah ayah.

Namun, kami redha dengan ketentuan yang Maha Esa. Ajal maut dan jodoh di tangan Tuhan. Tiba masanya kita semua akan pergi jua menghadap-Nya. Sesungguhnya kita tidak dapat menghidu bila kita akan dijemput. Allah tidak akan melambatkan atau mempercepatkan ajal kita walaupun sesaat. Lantaran hidup di dunia ini hanya sementaradan akhirat juga yang kekal abadi. Kini, sudah 11 tahun saya dan keluarga tidak menyambut hari raya bersama arwah ayah. Memang terasa sangat kelainan apabila seorang daripada ahli keluarga telah pergi meninggalkan kita buat selamanya. Kadang-kadang saya dapat rasakan bahawa arwah ayah bukan pergi menghadap Ilahi tetapi pergi bercuti di luar negara. Hari-hari saya menunggu kepulangannya tetapi semakin hari yang berlalu semakin jauh dia meninggalkan saya dan keluarga. Tak kering air mata menunggu kepulangannya di sisi. Namun, saya dan keluarga tetap pasrah dan redha dengan pemergiannya. Allah lebih sayangkannnya kerana dari kami semua. Mudah-mudahan Allah menempatkan arwah ayah di sisi orang-orang yang beriman dan diperluaskan tempatnya. Dan semoga kami anak-anaknya tidak akan putus-putus mendoakan dan mengsedekahkan alfatihah buatnya. Amin.

Buat sekalian saudara saya yang telah membaca coretan ini, agar dapat menjadikan kisah silam saya ini sebagai satu teladan kerana sesungguhnya kehilangan orang yang tersayang itu adalah antara musibah yang terlalu berat untuk digalas. Lebih-lebih lagi jika kejadian itu berlaku pada hari-hari yang bermakna dalam hidup kita. Jika ada persengketaan sesama insan, segeralah bermaaf-maafan kerana belum tentu kita akan sempat untuk bermaaf-maafan jika esok adalah hari terakhir kita di dunia ini. Sesungguhnya kenangan bersama insan yang telah meninggalkan kita buat selamanya amat sukar dilupakan malah kenangan itu akan terus subur di ingatan sehingga membuatkan kita mengalirkan air mata yang berpanjangan.

Sekian, SELAMAT MENJALANKAN IBADAH PUASA dan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI yang bakal menjelang. Ingatlah, selagi ada peluang untuk menyambut hari raya bersama ayah, ibu dan keluarga, sambutlah dengan penuh kesyukuran dan kenikmataan kerana kenikmatan itu mungkin yang terakhir buat kalian DAN janganlah biarkan airmata membasahi hari-hari kalian disebabkan rasa penyesalan yang menggunung tinggi. Sayangilah mereka kerana mereka juga takut kehilangan kita..


*Alfatihah buat ayahnda tercinta Allahyarham Haji Dullah bin Haji Budin kerana telah pergi menghadap Ilahi pada 08hb Januari 2000M bersamaan dgn 01 Syawal, 1420H yang lalu. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan diperluaskan tempatnya. Amin..





Monday, August 15, 2011

Doaku

Hari ini genaplah usiaku 36 tahun dan alhamdulillah aku sangat bersyukur kehadrat Ilahi kerana telah memanjangkan umurku walaupun keadaan kesihatanku yang tidak begitu memuaskan sejak akhir-akhir ini. Ya, Allah...dikesempatan ini ingin aku panjatkan doa dan harapan agar Engkau akan sentiasa memberikan aku taufik dan hidayah-Mu, memanjangkan umurku, menyihatkan tubuh badanku, memurahkan rezekik, memberikan aku ketabahan dan kegigihan serta mempercepatkan jodohku agar aku akan kuat untuk meningkatkan lagi amal ibadahku Ya Allah. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Mu yang lemah yang sentiasa dibayangi hasutan dan bisikkan yang sering membuatkan aku lalai seketika. Air mata ini menjadi saksi bahawa aku sangat menyintai-Mu Ya Allah dan aku sangat menyintai agama yang aku miliki ini. Mudah-mudahan dengan melangkahnya usiaku yang baru ini, aku akan sentiasa memperhambakan diriku pada-Mu Ya Allah. Mudah-mudahan aku akan kuat untuk melawan segala hasutan dan bisikkan agar cintaku pada-Mu tidak akan pernah pudar dan layu oleh kebinasaan diriku sendiri.

Ya, Allah..aku juga bermohon semoga Engkau panjangkanlah umur ibuku. Sihatkanlah tubuh badannya dan lindungilah ibuku dari segala mala petaka dan bala bencana. Berikanlah dia kesenangan dan ketenteraman dalam hidupnya agar kehidupan yang dilaluinya akan lebih bermakna dan bahagia di sisi anak-anaknya. Dihari ulangtahun kelahiranku ini, tiada apa yang lebih mengembirakan diriku selain dapat menghabiskan sisa hidupku bersama ibuku yang tersayang kerana tanpa dia, aku tidak akan lahir ke dunia ini. Tidak dapat aku bayangkan betapa sakit dan sengsaranya dirinya ketika mengandungkan dan kemudian melahirkan aku ke dunia ini. Sehingga kini aku dewasa, aku belum cukup membahagiakan dirinya. Aku tidak punya harta yang banyak untuk membalas segala jasanya justeru itu aku sanggup mengorbankan masaku untuk sentiasa di sisinya, menjaganya dikala sakit peningnya dan memujuknya ketika dia merajuk. Namun aku percaya, segunung manapun harta kekayaan yang aku limpahkan kepada seorang insan yang bergelar ibu, itu belum tentu dapat membalas segala jasanya melahirkan aku. Terima kasih ibu, terima kasih kerana telah melahirkan aku ke dunia ini dan menjagaku dengan cukup segala keperluan dan didikan yang sempurna. Aku sayang mama...

"Selamat hari jadi ke 37 tahun buat diriku sendiri"